Negara

RHB siasat kakitangan kongsi gambar libatkan PM

PETALING JAYA: RHB Banking Group (RHB) tampil memaklumkan bahawa kenyataan yang tular di media sosial yang didakwa dibuat oleh seorang kakitangan mereka adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili kedudukan rasmi RHB.

RHB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sentiasa mengekalkan standard tertinggi profesionalisme, integriti, dan sikap menghormati dalam semua interaksi, sama ada di dalam atau di luar tempat kerja.

“RHB memandang serius perkara ini dan siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Selain itu, RHB turut menegaskan bahawa tindakan disiplin yang sewajarnya akan diambil sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran terhadap Kod Etika dan Tatakelakuan Kumpulan.

Terdahulu, tular di media sosial apabila seorang wanita didakwa merupakan kakitangan RHB cawangan Kulim, Kedah telah berkongsi satu gambar mengaibkan melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkongsian tersebut mendapat kecaman pengguna yang menyifatkan tindakan itu keterlaluan dan tidak wajar dilakukan oleh mana-mana pihak.

Sementara itu, wanita terbabit dalam satu hantaran di Facebooknya turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak Perdana Menteri.

“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak mempunyai sebarang niat untuk memalukan atau menyinggung mana-mana pihak, terutamanya Perdana Menteri.

“Saya mengakui bahawa tindakan tersebut telah menimbulkan salah faham, dan saya amat kesali atas perkara itu,” katanya.

Menurut wanita itu, hantaran tersebut juga sudah dipadam dan berjanji akan lebih berhati-hati pada masa akan datang bagi mengelakkan sebarang kejadian serupa.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa segala pandangan dan hantaran yang dibuat adalah daripada akaun peribadi saya sendiri dan tidak mewakili atau mempunyai sebarang kaitan dengan pihak majikan saya,” katanya. – Kosmo

Related Posts