SAMPANG: Suasana tegang tercetus di perairan Ketapang, Sampang, Madura baru-baru ini apabila ratusan nelayan tempatan mengepung kapal tinjauan milik syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas.
Media tempatan melaporkan, tindakan itu dibuat mereka sebagai membantah aktiviti tinjauan di kawasan Sumur Barokah yang didakwa mengganggu laluan penangkapan ikan tradisional.
Aksi protes itu berlangsung dramatik apabila nelayan menggunakan perahu dan kapal kayu untuk menghampiri kapal Petronas sambil mengibarkan sepanduk penolakan.
Sebahagian daripada mereka turut nekad mendekati kapal bagi menghentikan operasi di tengah laut.
Wakil nelayan tempatan, Winarno berkata, tindakan itu lahir daripada kekecewaan mendalam terhadap ketidakjelasan pampasan bagi nelayan yang terkesan.
“Kami menolak keras tinjauan dan eksplorasi Petronas. Pampasan bagi nelayan tidak jelas, sedangkan aktiviti mereka sudah mengganggu kawasan tangkapan ikan,” dakwanya.
Nelayan menuntut agar semua aktiviti Petronas dihentikan sehingga wujud persetujuan pampasan yang adil. Mereka turut memberi amaran akan kembali ke laut dengan ratusan kapal sekiranya tuntutan diabaikan. – Agensi