KOTA BHARU: “Saya sangat trauma untuk menjejakkan kaki ke Thailand dengan apa yang berlaku. Saya tak akan pergi melancong atau terima tawaran buat persembahan di negara jiran itu dalam tempoh beberapa tahun ini”.
Itu luahan penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, yang dibebaskan dari Penjara Wilayah Narathiwat pada 6 Ogos lalu.
Jelasnya, sebelum ini dia banyak berkunjung ke Thailand atas urusan kerja, namun kini akan menolak sekiranya menerima tawaran untuk persembahan di sana.
“Selepas lebih sembilan bulan berada di sebalik tirai besi (penjara), ia meninggalkan trauma yang sangat besar buat diri saya. Sebelum ini pun, setiap kali ke Thailand, terutama Wilayah Narathiwat, saya hanya pergi untuk membuat persembahan, bukan melancong semata-mata.
“Jika orang bertanya adakah saya akan ke Thailand selepas apa yang berlaku, sudah tentu saya katakan tidak. Saya sangat trauma dan perasaan itu dirasai sehingga kini walaupun saya sudah kembali ke pangkuan keluarga,” katanya ketika dihubungi.
Ditanya apa pengajaran yang diperoleh sepanjang lebih sembilan bulan diuji dengan berada di penjara, ibu kepada dua cahaya mata itu, berkata dia akan lebih berhati-hati untuk mempercayai kawan.
“Nak cari kawan memang ramai, namun nak mencari sahabat sejati adalah perkara paling susah. Bila kita berada di penjara, baru kita sedar siapa kawan atau siapa sahabat. Bila kita berada di fasa terendah, tiada kawan yang datang melawat.
“Bermula dari situ, saya belajar, biar kawan sedikit, janji berkualiti. Malah, apa yang berlaku sehingga berada di penjara pun disebabkan kawan atas kawan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, di sebalik ujian yang dihadapi, masih terselit kenangan yang tidak akan dilupakan sepanjang berada di penjara.
“Saya pernah menjadi bilal ketika solat sunat tarawih dan solat sunat Aidilfitri serta Aidiladha,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat selepas lebih sembilan bulan ditahan.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk merayu kes berkenaan. – Suara Timur