Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Operasi melupuskan sisa gas Butana yang bocor di tapak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kerteh, dekat sini, dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari untuk selesai.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pemeriksaan di tujuh lokasi yang ditempatkan alat pengesan gas mendapati lima daripadanya menunjukkan bacaan kosong kecuali di kawasan yang berlakunya kejadian.
Menurutnya, alat pengesan gas itu dipasang pasukan khas bahan kimia berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
Katanya, setakat ini, pihak berkuasa masih mengekalkan jarak selamat sekitar radius 500 meter untuk beroperasi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Operasi membakar sisa gas menggunakan dua alat pembakaran mudah alih sedang dilakukan dengan diberikan kawalan ketat pasukan HAZMAT,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, aktiviti pembinaan projek ECRL masih belum dibenarkan beroperasi untuk sementara waktu sehingga gas berkenaan dapat dilupuskan sepenuhnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Terengganu, Mohd Khairiri Mat Resad berkata, bomba menggunakan dua peralatan berteknologi tinggi untuk mengesan kehadiran gas berbahaya dan mudah terbakar di lokasi berkenaan.
“Selain itu, Petronas dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menggunakan dron yang dilengkapi dengan alat khas bagi tujuan pemantauan dan mengesan keberadaan gas dalam udara.
“Proses melupuskan sisa butana mengambil masa agak lama kerana proses pembakaran secara terkawal tidak boleh dibuat dalam skala besar kerana boleh memberi kesan kepada kualiti udara sekeliling,” katanya. – Suara Timur