PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggalkan program Picnic & Potluck lebih awal pagi ini selepas dilaporkan sedikit keletihan.
Program yang berlangsung di Tasik Putrajaya bersebelahan Yayasan Kepimpinan Perdana itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-100 beliau pada 10 Julai lalu serta ulang tahun kelahiran ke-99 isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pada 12 Julai.
Dr Mahathir, yang juga Perdana Menteri keempat dan ketujuh, tiba sekitar jam 7.45 pagi dengan memandu sendiri sebelum mengayuh basikal secara ‘tandem’ mengelilingi tasik sambil diiringi pegawai keselamatan khas.
Bagaimanapun, selepas menamatkan kayuhan sejauh kira-kira lapan hingga sembilan kilometer, beliau dilihat keletihan dan berehat seketika di kerusi sebelum menuju ke meja sarapan yang disediakan.
Antara yang menunggu ketibaan beliau ialah Siti Hasmah; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; serta anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Program itu berjaya menarik kehadiran lebih 500 orang yang membawa pelbagai juadah untuk bersarapan santai bersama keluarga di tepi tasik. – TV3