ALOR SETAR: Sambutan luar biasa terhadap perkhidmatan feri perjalanan dua hala dari Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi sepanjang Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) menyaksikan jumlah penjualan tiket terus meningkat, dengan 60,000 tiket telah terjual setakat Ahad.
Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, sebanyak 113,000 tiket telah dimasukkan ke dalam sistem penjualan, dengan 53,000 tiket masih tersedia bagi tempoh perjalanan dari 20 hingga 25 Mei.
Menurutnya, melihat kepada permintaan tinggi, pihak Ferry Line mengambil langkah proaktif dengan menambah 122 perjalanan tambahan, bagi memastikan kapasiti mencukupi untuk menampung jumlah penumpang ke pulau peranginan itu.
“Kami melihat sambutan yang amat menggalakkan dari dua terminal utama, Kuala Kedah dan Kuala Perlis. Malah, kami telah melanjutkan perjalanan malam sehingga 10 malam bagi kedua-dua hala untuk memberi lebih fleksibiliti kepada pengunjung,” katanya pada Ahad.
Norhafiz berkata lagi, selain itu, usaha untuk mengurangkan kesesakan di terminal feri turut diperkukuh dengan seruan kepada penumpang agar tiba sekurang-kurangnya sejam lebih awal sebelum berlepas bagi mengelakkan sebarang kelewatan.
“Kami juga menggalakkan orang ramai supaya membeli tiket pergi dan balik lebih awal melalui aplikasi Cuti-Cuti Langkawi, terutama bagi mereka yang merancang untuk keluar dari Langkawi pada 24 dan 25 Mei,” ujarnya.
Tambah beliau, rekod menunjukkan jumlah penumpang feri ke LIMA’25 meningkat secara drastik berbanding edisi sebelumnya, dengan hanya 31,138 tiket terjual pada LIMA’23 dan 25,000 tiket terjual pada LIMA’19.
Menurutnya, dengan peningkatan jumlah perjalanan dan penyelarasan strategik oleh pihak feri, LIMA’25 dijangka mencatat sejarah sebagai edisi yang menerima kemasukan tertinggi pengunjung melalui perkhidmatan maritim.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa sebanyak 40,000 tiket feri perjalanan dua hala dari Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi bagi penganjuran LIMA’25 telah terjual setakat 8 Mei. – Sinar Harian