SETIU – Seorang pengantin baharu maut selepas motosikal berkuasa tinggi, Kawasaki Z1000 ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Guntung, di sini, hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 10.20 pagi itu, mangsa, Wan Hasbullah Wan Abdul Halim, 42, yang baru empat hari melangsungkan perkahwinan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, Wan Hasbullah yang merupakan seorang peniaga dikatakan dalam perjalanan ke Jerteh dari Kuala Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal berkuasa tinggi dinaiki mangsa dikatakan cuba memotong namun terlanggar sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu seorang penternak haiwan berusia 44 tahun.
“Kereta Proton Saga itu dikatakan sedang membelok ke simpang kanan sewaktu kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd. Zain berkata, mayat Wan Hasbullah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut, manakala pemandu Proton Saga mengalami luka pada kepala diberi rawatan di hospital sama. – Suara Timur