Mahkamah dan Jenayah Uncategorized

Syarikat pengusaha makanan didenda RM5,000 jual makanan tercemar

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sebuah syarikat pengusaha makanan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menjual makanan tercemar pada 9 April lalu.

Majistret Nur Hafiezah Mohamed Fauzi menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhibbah Packaging & Trading (PHG) Sdn. Bhd. selepas  wakil syarikat itu, Pua Mei Heong mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, syarikat itu didakwa telah melanggar peraturan 39(4) Peraturan- Peraturan Makanan 1985.
dan kesalahan di bawah Peraturan 397(1) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 397(2) peraturan-peraturan yang sama.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan menyedia dan menjual Cili Kering Kerinting Muhibbah yang mengandungi cemaran mikologi, Aflatoxin B1 pada kadar 25.41 µg/k melebihi kadar maksimum yang dibenarkan dalam Jadual Kelima Belas, Daftar II, iaitu 5 µg/kg dan telah melakukan suatu kesalahan dibawah Peraturan 397(1) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh dihukum dibawah Peraturan 397(2) peraturan-peraturan yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (KPPKP), Mohd Azman Mohd Ramli dan dibantu Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) Mohd Nasir Mohd Shaari.

Mengikut fakta kes, pegawai serbuan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kemaman menjalankan aktiviti pensampelan makanan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985, syarikat telah menjual produk makanan yang dicemari toksin merbahaya Aflatoxin B1 (AFB1).

Toksin ini bukan sahaja berbahaya tetapi telah diklasifikasikan sebagai karsinogen Kumpulan 1 (pasti menyebabkan kanser kepada manusia) oleh Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC).

Difahamkan, hasil analisa yang dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Sungai Buloh, Selangor mendapati makanan berkenaan telah melebihi had lima kali ganda tahap pencemaran yang dikesan adalah 25.41ug/kg, iaitu lebih lima kali ganda had maksimum yang dibenarkan iaitu 5 ug/kg.

Ini menunjukkan kecuaian yang nyata dan tidak boleh dimaafkan dalam proses kawalan kualiti, penyimpanan atau pemilihan bahan mentah. – Suara Timur

Related Posts