Negara

Sekolah cuti 5 hari sempena Deepavali

KUALA LUMPUR: Berita baik untuk pelajar dan guru di seluruh negara! Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan cuti tambahan sempena perayaan Deepavali 2025 yang jatuh pada Isnin, 20 Oktober ini.

Menerusi laporan Sinar Bestari dan rujukan Kalendar Akademik Sesi 2025/2026, cuti tambahan pada Selasa dan Rabu membabitkan semua sekolah di seluruh negara kecuali Sarawak, bagi memberi peluang warga sekolah yang terbabit menyambut perayaan Pesta Cahaya bersama keluarga dan rakan tersayang.

Berikut jadual cuti tambahan yang diumumkan KPM seperti dikongsi dalam Kalendar Akademik Sesi 2025/2026:

1) Kumpulan A: Sekolah di Kedah, Kelantan dan Terengganu akan bercuti pada 19 Oktober (Ahad) dan 21 Oktober (Selasa).

2) Kumpulan B: Sekolah di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya akan bercuti pada 21 Oktober (Selasa) dan 22 Oktober (Rabu).

3) Sementara Sarawak (Kumpulan B) pula akan bercuti sehari sahaja iaitu pada 20 Oktober (Isnin).

Dengan itu, warga sekolah bakal menikmati lima hari cuti berturut-turut bermula Sabtu hingga Rabu.

Dengan pengumuman ini, warga sekolah berpeluang pulang ke kampung, ziarah rakan atau sekadar berehat di rumah sebelum menyambung sesi persekolahan nanti. – Berita Harian

Related Posts