SUBANG JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat aktiviti mengorek tanah dilakukan berhampiran lokasi letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights di sini, pada 30 Mac lalu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya perlu menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada kerja pengorekan tanah itu adalah punca kejadian terbabit.
Beliau berkata, terdapat tiga unsur yang mungkin mendorong insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights itu membabitkan gas, udara dan percikan api.
Katanya, setakat ini seramai 56 saksi sudah dipanggil untuk menjalani sesi rakaman percakapan bagi membantu siasatan insiden terbabit.

“Kerja mengorek tanah dibuat bagi menggantikan paip kumbahan, terletak kira-kira 30 meter (m) dari lokasi letupan. Namun, kita belum mengenal pasti sama ada mereka turut membuat kerja pada hari pertama Aidilfitri atau sebaliknya.
“Berdasarkan keterangan saksi, eskavator yang dilihat pada hari terbabit dikatakan mahu dibawa keluar dari tapak projek, tetapi mereka dikatakan tidak sempat berbuat demikian.
“Terdapat tiga paip gas natural yang membawa bahan berkenaan dari Terengganu ke selatan dan utara Semenanjung serta Thailand.
“Ketika kejadian, satu daripada tiga paip terbabit dikesan pecah, menyebabkan kebocoran gas yang mengakibatkan letupan terbabit,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Shukri Ishak serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Wan Md Razzali Wan Ismail.
BH Selasa lalu melaporkan kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Kebakaran saluran paip gas PETRONAS sepanjang 500m yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.
Rentetan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kelmarin, melakukan penandaan terhadap struktur rumah terjejas bagi mengenal pasti tahap keselamatannya, sebelum pasukan penyiasat memulakan tindakan lanjut. – Berita Harian