Negara

16,000 tiket bas balik Kelantan habis dalam tempoh empat jam

KOTA BHARU: Tiket bas ekspres dari Kuala Lumpur Ke Kota Bharu laris apabila 16,454 habis dalam tempoh empat jam dibuka untuk jualan bagi membolehkan perantau dari negeri ini pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail berkata, tiket paling laris ialah pada 28 Mac manakala empat hari lain ialah 26, 27, 29 dan 30 Mac.

Beliau memberitahu, pihaknya membuka jualan tiket melalui dalam talian bermula jam 12 tengah malam 1 Mac lalu dan habis kira-kira jam 4 pagi 2 Mac

“Ramai yang menghubungi kami pada jam 9 pagi kerana gagal mendapatkan tiket pada tarikh itu kerana mahu pulang berhari raya bersama keluarga,” katanya.

Katanya lagi, sehingga kini perkhidmatan bas dari Kuala Lumpur beroperasi sebanyak 46 trip sehari ke Kelantan bagi memberi perkhidmatan kepada pelanggan termasuk 20 bas eksekutif laluan Lembah Klang.

Syarikat berkenaan mempunyai 66 bas ekspres bagi perjalanan ke seluruh negara dengan trip terbanyak membabitkan laluan Kuala Lumpur-Kota Bharu. – Sinar Harian

Related Posts