Negara

Gaji sebenar rakyat Malaysia susut tiga kali ganda

SHAH ALAM:  Kadar gaji sebenar rakyat Malaysia telah menyusut hampir tiga kali ganda dalam tempoh 40 tahun, kata bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata, berdasarkan pengiraan ringkas, gaji permulaan graduan universiti pada hari ini hanya sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan berbanding nilai gaji permulaan sebanyak RM1,300 sebulan diterimanya pada tahun 1984.

Beliau berpandangan, gaji setaraf untuk graduan universiti pada zaman sekarang sepatutnya mencecah RM7,000 hingga RM8,000 sebulan dengan mengambil kira kadar inflasi tahunan sebanyak lima peratus.

“Itu bersamaan dengan kuasa beli sekitar RM300 hingga RM400 pada tahun 1980-an. Secara realiti, gaji kita sudah merosot sekurang-kurangnya tiga kali ganda.

“Jika sistem pendidikan dan struktur ekonomi negara tidak dirombak, anak-anak kita berkemungkinan terpaksa bekerja sebagai buruh berkemahiran rendah,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia sebenarnya sudah lama berada dalam perangkap pendapatan sederhana dan isu gaji rendah bukan perkara terpencil, sebaliknya berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait.

Jelas beliau, faktor terlibat adalah kebergantungan kepada pekerja asing, kegagalan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan berkualiti serta kelemahan sistem pendidikan.

Majoriti pekerja asing di Malaysia berada dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) seperti perladangan, perikanan, kilang, tapak pembinaan, restoran dan pekerjaan domestik.

Sehingga 31 Disember 2024, jumlah tenaga kerja negara adalah seramai 16.78 juta orang dengan 14 peratus ataupun 2.37 juta orang terdiri dari pekerja asing.

“Kebanyakan pekerja asing yang diambil sejak beberapa dekad lalu berkemahiran rendah dan tidak berpengalaman, menjadikan kos pengambilan mereka lebih murah.

“Situasi terbabit memberi saingan terus kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40) memandangkan gaji mereka tidak meningkat,” ujarnya.

Muhammad berkata, Malaysia juga belum berjaya mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat disebabkan ekonomi kurang cekap dan tidak berskala besar, menyebabkan negara gagal cipta peluang pekerjaan berkualiti untuk graduan.

Katanya, sistem pendidikan dan latihan kemahiran yang dilaksanakan juga dikhuatiri sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi memenuhi keperluan pasaran abad ke-21, sekali gus menjejaskan produktiviti dan daya saing negara.

“Semua isu terbabit adalah cerminan kepada sikap kerajaan yang masih teragak-agak dan terlalu berhati-hati untuk melakukan reformasi menyeluruh.

“Jadi, saya berpandangan, Malaysia wajar menghentikan kebergantungan kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memberi tumpuan kepada struktur pekerjaan untuk memajukan ekonomi,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts