Negara

Laporan polis minta siasat NGO sebar fahaman komunis

KEMAMAN: Seorang peniaga membuat satu laporan polis berkaitan  penyebaran sebuah video mengenai kegiatan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikhuatiri menyebarkan fahaman komunis di negara ini, malam tadi.

Mukhatar A. Rahman, 62, berkata, laporan polis dibuat bagi memohon pihak berkuasa di negara ini menyiasat dan mengambil tindakan terhadap penyebaran video tersebut.

Menurutnya, dia mendapat maklumat mengenai aktiviti NGO tersebut setelah
didedahkan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim menerusi laman satu hantaran video bertajuk sidang media tergempar Tan Sri Dato’ Sri Utama Dr Rais Yatim di https://www.youtube.com/watch?v=PEGtu3UT2Uw

Katanya, dia melayari hantaran video berdurasi 2 minit 57 saat menggunakan komputer meja di rumahnya pada pukul 8 malam tadi dan selepas itu membuat laporan polis tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini.

“Dalam video tersebut, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang merupakan mantan Yang Dipertua Dewan Negara telah menerima satu hantaran video mengenai kegiatan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (ngo) yang dikhuatiri menyebarkan fahaman komunis di negara ini.

“Rais memaklumkan NGO itu dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia,” katanya ketika ditemui di IPD Kemaman, di sini, malam tadi.

Mukhatar memberitahu,  Rais mendakwa ada seseorang atau sekumpulan aktivis atau organisasi itu tidak berdaftar telah mempromosi ajaran dan kepentingan komunis di Malaysia dan ini dikhuatiri akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam dalam negara.

Sehubungan itu, tambahnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta  menyiasat dakwaan Tan Sri Rais dan mengambil tindakan terhadap penyebar video yang dinyatakan itu. – Suara Timur

Related Posts