Negara

Perlis haram jual vape mulai 1 Ogos

KANGAR: Kerajaan Perlis mengharamkan sebarang bentuk penjualan vape atau rokok elektronik (e-cigarette) di negeri ini, berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Keputusan itu selepas mengambil kira keburukan vape, yang semakin menjadi ancaman terhadap pelbagai golongan, termasuk murid.

Justeru, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli mengingatkan peniaga vape boleh bersiap sedia mencari perniagaan baharu yang tiada kaitan dengan bahan atau peranti yang mampu menjejaskan kesihatan.

“Lesen perniagaan vape mereka tidak akan diperbaharui dan akan ditamatkan segera berkuat kuasa 1 Ogos. Difahamkan tidak banyak premis menjual vape di seluruh Perlis, bawah 50 kedai sahaja,” katanya.

Mengumumkan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO, di sini hari ini, katanya, penggunaan rokok elektronik atau vape sudah pun diharamkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 2022.

“Namun kali ini, kita (kerajaan negeri) mengambil langkah untuk mengharamkan penjualannya pula. Walaupun sukar mengekang penggunaan vape sepenuhnya, sekurang-kurangnya tindakan kita ini dapat cegah anak muda daripada menghisap vape,” katanya.

Ini langkah penguatkuasaan kedua selepas kerajaan negeri mengharamkan dan menghentikan operasi premis perjudian secara besar besaran sejak tahun lalu. – Berita Harian

Related Posts