Negara

Dua rakyat Malaysia meninggal dunia di Yala, Thailand

YALA – Konsulat Malaysia di Songkhla mengesahkan bahawa dua rakyat Malaysia meninggal dunia dalam dua kejadian berasingan di wilayah Yala, Thailand, pada Sabtu.

Menurut kenyataan konsulat, kes pertama melibatkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 56 tahun dari Kedah yang meninggal dunia di Betong, manakala kes kedua membabitkan seorang lelaki berusia 47 tahun dari Pulau Pinang yang maut dalam kemalangan jalan raya di daerah Yaha.

“Menurut isterinya, mangsa rebah di dalam tandas ketika berhenti rehat dan tidak sedarkan diri. Dia dikejarkan ke Hospital Betong namun disahkan meninggal dunia kira-kira setengah jam kemudian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kematian mangsa diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dikesan, menurut hasil bedah siasat.

Polis Diraja Thailand membenarkan waris menuntut jenazah untuk dibawa pulang ke Kulim, Kedah, dengan bantuan Konsulat Malaysia di Songkhla.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Konsulat Malaysia melaporkan seorang lagi lelaki rakyat Malaysia maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda milik penduduk tempatan di daerah Yaha, petang Sabtu.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Jenazah telah dibawa dari Hospital Yaha ke Hospital Sadao, Songkhla, sebelum dituntut waris untuk dibawa pulang ke Pulau Pinang. – Sinar Harian

Related Posts