Negara

KKM bongkar lebih 21,000 ubat tidak sah di pasaran

KUALA SELANGOR:  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan lebih 21,000 produk kesihatan tidak sah termasuk yang mengandungi bahan berbahaya membanjiri pasaran negara setakat tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, trend itu sebagai membimbangkan apabila dijual secara terbuka dalam talian serta premis fizikal tanpa pengawasan.

Tegas beliau, rampasan produk kesihatan haram tahun lalu itu juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

“Sebanyak 21,571 unit produk tidak sah berjaya dirampas tahun lalu dengan nilai RM37.5 juta, meningkat daripada 20,157 unit bernilai RM24.8 juta yang dirampas pada tahun 2023.

“Daripada jumlah itu, 17,630 adalah suplemen tidak berdaftar, manakala 3,941 merupakan produk kosmetik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kembara Ubat Tidak Sah (TOBaTS) Zon Tengah 2025, di Dewan Dato’ Penggawa Permatang di sini pada Sabtu.


“Ramai yang tertipu kerana ubat tidak sah ini dijual secara terbuka misalnya ada hologram, tetapi sebenarnya palsu.

“Sebagai contoh, satu produk minyak angin dikenal pasti tidak berdaftar selepas semakan melalui aplikasi PharmaChecker,” jelas beliau.

Dr Dzulkefly menegaskan, lima kategori ubat tidak sah dikenal pasti termasuk ubat tiruan, tidak berdaftar, mengandungi racun berjadual, diimport secara haram dan dihasilkan tanpa pematuhan piawaian pengilangan.

Menurut beliau, KKM kini menggempur penjualan ubat tidak sah melalui gabungan strategi pendidikan dan penguatkuasaan

Jelas beliau, antaranya menerusi siri jelajah seperti Kembara TOBaTS akan diperluas ke seluruh negara selepas pelaksanaannya di Selangor.

Jelas beliau, setiap tahun kerajaan terpaksa menanggung beban tinggi bagi merawat komplikasi akibat ubat tidak sah.

“Seorang pesakit kegagalan buah pinggang kronik (CKD) misalnya, menelan kos lebih RM5,000 setahun, jadi lebih baik kita cegah sebelum parah,” katanya.

Beliau turut menyeru media dan masyarakat memainkan peranan aktif dengan menyebarkan kesedaran dengan menggunakan aplikasi semakan seperti PharmaChecker dan melaporkan sebarang produk meragukan kepada pihak berkuasa.

“Ini bukan tanggungjawab KKM sahaja, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak kerana kesihatan rakyat adalah aset negara,” tambah beliau. – Sinar Harian

Related Posts