Negeri Sukan

Sabri bukan lagi CEO TFC

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun mengemudi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO), akhirnya Mohd Sabri Abas berpisah dengan kelab itu.

Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan kelab itu pada hari ini, Sabri yang mula memegang jawatan itu sejak 9 Oktober 2023 telah dilantik sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun (MPD).

“Terengganu FC (TFC) ingin mengumumkan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab ini iaitu Mohd Sabri Abas dilantik dan dipertanggungjawabkan menggalas jawatan baharu sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun bermula 4 Mei 2025.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala jasa, sumbangan serta komitmen yang dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau bersama kelab.

“Sepanjang perkhidmatannya, beliau sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya dalam setiap cabaran yang dihadapi dengan penuh semangat dan dedikasi tinggi demi memastikan kelab ini terus melangkah maju.

“Tahniah atas pelantikan beliau ke jawatan baharu, kami doakan semoga terus melakar kejayaan pada masa akan datang. Jasa anda bersama Terengganu FC akan di kenang selama-kamanya,” demikian menurut kenyataan itu.

Sepanjang mengetuai TFC, Sabri berjaya membawa pasukan itu mara ke pentas final Piala Malaysia musim 2023 sebelum tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-3.

Pada musim ini, TFC beraksi di pentas Asean dalam saingan Piala Shopee, namun gagal merealisasikan impian untuk melangkah ke separuh akhir selepas mengakhiri saingan edisi kali ini di kedudukan keempat dengan tujuh mata. – Harian Metro

Related Posts