Negara

Tawar ganjaran RM30,000 kepada pemberi maklumat kes Zara Qairina

JITRA: Restoran Tok Keramat menawarkan ganjaran RM30,000 kepada pemberi maklumat berkaitan kes buli pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Penasihat restoran itu, Sobri Zakaria, 57, berkata ganjaran itu akan diberikan kepada individu berkenaan sebaik kes terbabit selesai dan pembulinya berjaya ditahan serta didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, tawaran ganjaran itu bermula sejak semalam selepas dimaklumkan di media sosial dengan harapan supaya maklumat berkaitan kes buli Zara Qairina diperoleh.

“Saya terpanggil untuk menawarkan ganjaran ini kerana sudah hampir sebulan menunggu, masih belum dapat jawapan siapa yang melakukannya.

“Kita akan tambah ganjaran itu sehingga RM50,000 bergantung pada keadaan sekiranya maklumat itu masih belum diperoleh.

“Saya tak boleh baca berita berkaitan Zara Qairina kerana sudah menganggapnya seperti anak cucu sendiri, malah arwah seorang anak yang baik,” katanya ketika ditemui di restorannya di sini hari ini.

Sobri berkata, kes yang berlaku pada pelajar berusia 13 tahun turut mendapat liputan meluas termasuk di dalam dan luar negara.

Katanya, hampir seluruh rakyat di negara ini turut menyertai Himpunan Soladariti #JusticeforZara, tetapi pembulinya masih belum diketahui sehingga kini.

“Saya juga bercadang akan mengadakan solat hajat dan majlis bacaan Yasin untuk Zara Qairina dalam tempoh terdekat.

“Sekarang ini fokus utama kita adalah nak tahu siapa yang terbabit dalam kes ini dan saya berharap apa yang rakyat Malaysia lakukan, termasuk himpunan soladariti dan solat hajat serta bacaan Yasin akan dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya. – Berita Harian

Related Posts