KOTA BHARU: Penerbangan terus dari Singapura ke Kota Bharu oleh Scoot, anak syarikat penerbangan tambang murah Singapore Airlines menyuntik nafas baharu dalam sektor pelancongan di negeri ini.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pihaknya menyambut baik pembukaan laluan itu yang dijangka mampu mempromosikan Kelantan dengan lebih banyak lagi.
“Dengan adanya kemudahan ini dan kapasiti LTSIP (Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra) yang besar mampu menampung kemasukan lebih ramai pelancong ke negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program MYAirportCARES Lestari Seni Majlis Pemerkasaan dan Pemuliharaan Rebana Ubi Serta Sambutan Penerbangan Sulung Scoot dari Singapura ke Kota Bharu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini pada Ahad malam.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Rosnan Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Sdn Bhd, Kamaruzzaman Razali.
Menurut beliau, penerbangan ini beroperasi dua kali seminggu pada Jumaat dan Ahad yang mengambil masa penerbangan selama 1 jam 15 minit.
Ujarnya, jika mendapat sambutan menggalakkan MAHB boleh mengemukakan cadangan pertambahan lokasi dalam menggalakkan lagi sektor pelancongan ke Kelantan.
Mohd Izani memberitahu, operasi penerimaan ketibaan pelancong antarabangsa di LSTIP berjalan lancar dan teratur.
“Alhamdulillah, operasi menerima kedatangan pelancong berjalan dengan baik dan terkawal.
“Sepanjang Januari hingga September tahun ini LSTIP sudah mengendalikan lebih 1.3 juta penumpang,” katanya. – Sinar Harian
