Negara

Video solat Jumaat dengan bunian disiasat

ALOR SETAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sedang menjalankan siasatan berhubung penularan sebuah video yang memaparkan dakwaan solat Jumaat bersama bunian membabitkan seorang pendakwah terkenal, baru-baru ini.

Pengarah JHEAIK, Datuk Abd Ghani Zainudin berkata pihaknya akan memanggil individu terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu.

“Kita maklum tentang penularan video itu dan dakwaan pendakwah berkenaan solat Jumaat bersama bunian yang didakwa dilakukan seorang agamawan ketika hayatnya.

“JHEAIK akan mengkaji video tersebut dan akan memanggil pendakwah terbabit bagi mendapat penjelasan berhubung perkara itu sebelum tindakan sewajarnya diambil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abd Ghani berkata JHEAIK kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Mufti Kedah untuk merangka tindakan yang bersesuaian dalam menangani isu berkenaan.

Beliau turut menasihatkan semua pendakwah supaya berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam.

“Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak taasub dan mendapatkan kesahihan daripada pihak bertauliah berhubung sesuatu isu.

“Kita juga berharap semua pihak bertenang dan membiarkan pihak berkaitan menyiasat isu ini termasuk mengeluarkan kenyataan sehingga mendatangkan kegusaran ramai di media sosial,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial sejak beberapa hari lalu berhubung video berdurasi satu minit 31 saat memaparkan pendakwah terkenal dipercayai dalam satu majlis. – Harian Metro

Related Posts