Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Beberapa mahasiswa institusi pengajian tinggi memanfaatkan cuti semester dan mengisi masa lapang mereka dengan melakukan kerja amal membersihkan sebuah surau di kawasan komuniti.
Mereka bertindak membersihkan bahagian dalaman dan persekitaran surau berkenaan secara sukarela bagi memastikan rumah ibadah itu sentiasa dalam keadaan bersih dan selesa bagi kegunaan jemaah.
Mahasiswa terbabit adalah Mohammad Adam Naqiudin Mohammad Zulkifli, dari Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, Kelantan, Mohd Najwan Zakaria, dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Abdul Hadie Al Mubasshir Syafie, penuntut A-Level, Sunway Kolej dan semua mereka berusia 18 tahun.

Menurut Mohammad Adam Naqiudin, idea untuk melakukan kerja amal itu lahir dua hari lepas selepas mereka bertiga belum ada sebarang perancangan aktiviti sempena cuti semester ini.
“Mereka memilih surau itu sebagai projek amal pertama kerana rumah ibadah terbabit tiada peruntukan mencukupi bagi tujuan penyelenggaraan berbanding masjid yang mempunyai peruntukan khas.

“Selain itu aktiviti berkenaan juga dapat memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan remaja dan mengeratkan hubungan sesama ahli komuniti setempat,” katanya ketika ditemui hari ini.
Mohammad Adam Naqiudin berkata, jemaah-jemaah yang solat di surau ni adalah kalangan warga emas, jadi mereka juga tidak mempunyai kudrat membuat kerja-kerja seperti kemas surau, menyapu dan sebagainya.

Menurut mereka, usaha murni itu membuktikan golongan remaja mampu menjadi agen perubahan positif dalam masyarakat jika diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya.
“Dalam masa sama, kita boleh jadi sebagai teladan dan contoh kepada anak muda lain, untuk anak muda datang ke surau sambil membuat kerja amal,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, mereka bercadang melakukan lebih banyak kerja amal di surau-surau di sekitar bandar Dungun untuk mengisi masa lapang sempena cuti semester yang masih berbaki tiga minggu lagi.
Pada masa sama, katanya, mereka turut mempelawa para remaja yang ingin turut serta melakukan kerja-kerja amal itu sebagai satu usaha menggalakkan golongan muda mengimarahkan masjid dan surau. – Suara Timur
