Home NegeriJelajah Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur kembali ke PSKT

Jelajah Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur kembali ke PSKT

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) sekali lagi diberi mandat sebagai tuan rumah siri jelajah Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur, menampilkan peranan Terengganu sebagai pusat rujukan pendidikan sains dan teknologi di Pantai Timur.

Program yanh berlangsung pada 18 hingga 20  Julai ini bukan sekadar pameran, tetapi satu usaha strategik memperkukuh minat terhadap bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam kalangan generasi muda luar bandar.

Dengan pendekatan hands-on dan interaktif, ia membuka peluang kepada murid seawal sekolah rendah untuk merasai pengalaman sains secara dekat, sekaligus merapatkan jurang akses ilmu antara bandar dan desa.

PAPARAN digital interaktif yang disediakan di setiap galeri sains di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu menjadi daya tarikan utama untuk pengunjung merasai sendiri pengalaman berbeza bagi setiap aktiviti semperna siri jelajah Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur.

Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, menegaskan  kerjasama erat bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta pelbagai agensi berkaitan menjadi penanda aras penting dalam menjayakan hala tuju negara di bawah kerangka Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang digerakkan sejak 2013.

banner

Beliau turut menekankan penganjuran kali ini lebih inklusif dengan kemasukan percuma sepanjang tiga hari, membolehkan semua lapisan masyarakat menikmati pengalaman tanpa halangan kos.

REPLIKA rangka Spinosaurus bersaiz sebenar di antara beberapa replika dinasour yang turut dipamerkan di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu.

“Ini adalah penganjuran tahun ke-4 di sini dan sememangnya saban tahun ianya merupakan program tahunan yang sentiasa menjadi tumpuan buat masyarakat sekitar malah ada yang sanggup hadir dari negeri berhampiran untuk turut sama merasai pengalaman mahupun mendapatkan pengetahuan tentang bidang STEM secara lebih dekat lagi.

“Menambah menarik, untuk sepanjang 3 hari penganjuran Minggu Sains Negara 2026 ini tiada sebarang bayaran dikenakan bagi sesiapa sahaja termasuk mereka yang hadir dari luar Terengganu. Setiap pengunjung diberi penghormatan untuk merasai sendiri pengalaman mereka di PSKT ini sepenuhnya,” ujar beliau.

GALERI I-Wonder merupakan antara 9 galeri sains yang sering menjadi tumpuan golongan muda untuk mendekati bidang sains yang turut dilengkapi dengan pelbagai peralatan demostrasi secara nyata menjadi pengalaman berbeza buat setiap pengunjung ke Pusat Sains & Kreativiti Terengganu.

Mohd Huzairil Nizam berkata, antara acara utama yang dijadualkan termasuk program ‘Nuklear Untuk Rakyat’ oleh Agensi Nuklear Malaysia pada 19 Julai, serta pertandingan muzikal sains yang bakal menampilkan kreativiti pelajar sekolah dalam menggabungkan seni dan teknologi.

Tambahnya, secara keseluruhan, sebanyak 10 acara utama dan beberapa aktiviti sampingan akan berlangsung, menjadikan PSKT sebagai pusat tumpuan keluarga dan komuniti sepanjang hujung minggu.

Dengan rekod penganjuran kali ke-4, Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur bukan sekadar acara tahunan, tetapi simbol komitmen berterusan Terengganu dalam memperkasa budaya ilmu dan inovasi di Pantai Timur. Suara Timur

Tinggalkan komen