Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Sebanyak 15 bengkel kereta di daerah ini dan Kemaman diserbu pihak berkuasa dalam operasi bersepadu, Ops Mega semalam, selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan menyalahi undang-undang.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, serbuan tersebut dilakukan serentak berdasarkan maklumat risikan berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang di semua premis berkenaan.
Menurutnya, operasi disertai pasukan Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, IPD Kemaman dan IPD Dungun serta pasukan Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Telekom Malaysia (TM) negeri.
“Seramai 22 lelaki diperiksa membabitkan warga tempatan, Myanmar dan Bangladesh, dengan 13 daripadanya melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995, Akta Peniaga Sekendhend 1946, dan Akta Imigresen 1959/63.
“Daripada 13 ini, lapan adalah warga tempatan, manakala tiga warga Myanmar dan dua Bangladesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata, tiga notis saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen perniagaan dan sampel minyak terpakai telah diambil oleh Pegawai Penguatkuasa Alam Sekitar untuk dihantar ke makmal bagi siasatan di bawah Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Menurutnya, pihaknya turut merampas barangan seperti keratan kabel, buku daftar jual beli, alat penimbang, besi buruk, gegelung dawai tembaga, grinder, dan enjin motosikal. – Suara Timur