Mahkamah dan Jenayah

Namawee ditahan di hotel, disyaki miliki, ambil dadah

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap tempatan, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, ditahan polis selepas disyaki memiliki dan menggunakan dadah di sebuah hotel di ibu negara pada 22 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menahan lelaki berusia 42 tahun itu sekitar jam 4.30 petang.

“Hasil pemeriksaan di bilik hotel berkenaan menemui sembilan biji pil berwarna biru disyaki pil ekstasi dengan anggaran berat 5.12 gram.

“Suspek kemudian dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata, suspek ditahan reman selama dua hari sebelum dihadapkan ke mahkamah pada 24 Oktober lalu, terhadap dua pertuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 39A(1) akta sama kerana memiliki dadah, manakala bagi pertuduhan kedua Seksyen 15(1)(a) akta sama atas kesalahan menggunakan dadah.

“Suspek mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan dan mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan.

“Tarikh sebutan semula kes dijadualkan pada 18 Disember ini,” katanya. – Berita Harian


Related Posts