Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Sebuah syarikat perniagaan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Kemaman di sini, hari ini, kerana menjual rokok tidak mengikut harga jualan minimum ditetapkan di premis perniagaannya, November tahun lalu.
Majistret Sharifah Armida Shasha Amir Shariffuddin menjatuhkan hukuman terhadap pemilik syarikat tersebut iaitu orang kena saman (OKS) setelah didapati bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Berdasarkan fakta kes, kesalahan itu dikesan pada Operasi Kawalan Penjualan Produk Merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada November tahun lalu.
Pengeledahan di premis perniagaan tersebut telah menemui dan menyita produk tembakau sebanyak 58 jenis paket rokok pelbagai jenama dengan kuantiti 969 kotak paket rokok yang bernilai RM5,732.00.
OKS tersebut merupakan individu pertama di Terengganu disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 14 (5) (a) (i), Akta 852.
OKS mengaku bersalah selepas didapati menjual rokok tidak mengikut harga jualan minimum ditetapkan pada harga jualan minimum RM12 bagi setiap paket yang melanggar undang-undang yang telah berkuat kuasa.

Dalam prosiding mahkamah pihak pendakwaan telah mengemukakan hujah pemberatan dengan menyatakan pihak kerajaan telah mewartakan peraturan penjualan produk tembakau di bawah akta ini bagi mengawal ketat khususnya kepada sasaran orang belum dewasa daripada kebolehcapaian membeli dengan mudah.
Pihak pendakwa memaklum bekalan produk merokok yang disita yang banyak dan terdapat empat cawangan yang dimiliki OKS menunjukkan bahawa pasaran yang dijual sangat meluas dan berskala besar.
Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Nasir Mohd Shaari dan dibantu oleh Alias Awang Kechik dari Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman.
Turut hadir Mohd Rosli Abd Wahab, Penolong Pengarah Kanan (Sub Pendakwaan) Unit Inspektorat dan Perundangan sebagai Pegawai Pendakwa penasihat teknikal.
Mengikut Akta 852, hukuman maksimum bagi kesalahan pertama individu adalah denda RM20,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya sekali.
Namun, dalam kes ini, OKS dikenakan denda RM3,500, dan jika gagal menjelaskan denda tersebut boleh dikenakan hukuman penjara selama satu tahun. OKS membayar denda tersebut. – Suara Timur