Politik

Bersih gesa PN umum calon PM

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) perlu lebih jelas berkait calon perdana menteri yang mahu disokongnya sebelum menganjurkan sebarang usaha mendesak Anwar Ibrahim turun dari kedudukannya, menurut Bersih.

Badan pemantau pilihan raya itu juga menggesa pembangkang menggunakan saluran Parlimen dengan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri, selain menganjurkan himpunan khas, bulan depan.

“Pembangkang perlu jelas siapa akan jadi perdana menteri dan dapat sokongan jika Anwar turun atau letak jawatan,” kata Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz kepada FMT.

Beliau mengulas pengumuman Pemuda PAS yang menganjurkan ‘Himpunan Turun Anwar’ pada 26 Julai ini menggantikan bantahan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dirancang sebelum ini.

Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden dipetik berkata keputusan itu susulan tindakan Anwar memohon imuniti daripada saman sivil difailkan Yusoff Rawther.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Woo Kah Leong ketika membidas himpunan itu turut mempersoalkan kegagalan PN bersepakat berkait calon perdana menteri gabungan tersebut.

Sementara itu, Faisal berkata walaupun mencadangkan proses Dewan Rakyat digunakan untuk mengukur sokongan terhadap Anwar, namun Bersih berharap kerajaan dapat melancarkan penganjuran perhimpunan terbabit.

Katanya, ini kerana berhimpun secara aman adalah hak asasi demokrasi perlu dipelihara dan dihormati walaupun tuntutan itu tidak disenangi kerajaan.

“Polis perlu bantu memudahkan himpunan selari dengan kenyataan perdana menteri yang benarkan untuk berhimpun dan penguatkuasaan moratorium siasatan jika berhimpun secara aman,” katanya. – FMT

Related Posts