Home Politik4 Pengerusi PN negeri ikut jejak Muhyiddin lepas jawatan

4 Pengerusi PN negeri ikut jejak Muhyiddin lepas jawatan

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: Empat Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) negeri mengumumkan peletakan jawatan masing-masing hari ini, mengikut jejak langkah terdahulu diambil Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan Pengerusi PN Pusat.

Antaranya termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Pengerusi PN Selangor, yang turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN berkuat kuasa Khamis ini.

Peletakan jawatan itu diumumkan Mohamed Azmin melalui kenyataan di Facebook, beberapa jam selepas Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya dalam PN pagi tadi.

Tiga lagi Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri yang mengambil langkah sama ialah Datuk Seri Faizal Azumu Perak); Datuk Dr Sahruddin Jamal (Johor) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan).

banner

“Saya mengambil perhatian pelantikan saya sebagai Setiausaha Agung PN adalah atas bidang kuasa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Maka, saya juga meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN bermula 1 Januari 2026.

“Saya juga mengambil pendirian meletakkan jawatan selaku Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa tarikh sama,” kata Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal, Dr Sahruddin dan Mohamad Hanifah masing-masing berkata mereka mengambil keputusan kerana kuasa melantik jawatan mereka adalah bidang kuasa Pengerusi PN sebelum ini.

Justeru, katanya, mereka membuat keputusan itu bagi memberi laluan kepada kepemimpinan baharu PN di negeri masing-masing.

Peletakan jawatan ini dipercayai susulan kepada kemelut politik di Perlis yang menyaksikan pertukaran kepemimpinan Menteri Besar daripada Paa kepada Bersatu.

Ia susulan tindakan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menghantar akuan bersumpah (SD) kepada Istana Perlis untuk menarik kepercayaan kepada Mohd Shukri Ramli selaku Menteri Besar ketika itu

Selain lima ADUN Bersatu, tiga lagi membabitkan wakil rakyat Paa.

Dalam pada itu, Pas menawarkan kesediaannya untuk menerajui PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata hasrat itu bertujuan memperkasa organisasi dan sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“PAS menyeru semua pihak supaya bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap PN,” katanya melalui kenyataan, hari ini. – Berita Harian

Tinggalkan komen