PAS sebelum ini sering mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak yang dianggap menghina simbol negara termasuk Jalur Gemilang.
Kini parti itu pula berdepan kecaman selepas memaparkan Jalur Gemilang yang cacat dalam satu poster program anjurannya sendiri.
Insiden itu melibatkan logo rasmi program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025.
Dalam poster itu – yang sudah ditarik balik apabila dikritik – kelihatan imej Jalur Gemilang dipaparkan dengan bilangan bucu bintang dan jalur merah putih yang tidak lengkap.

PAS dalam kenyataan medianya hari ini mengakui kesilapan tersebut, memohon maaf secara terbuka, dan menyatakan logo itu telah segera diperbetulkan.
Parti itu juga memaklumkan bahawa tindakan dalaman telah diambil terhadap petugas yang bertanggungjawab.
Namun, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, juga mengingatkan bahawa permohonan maaf semata-mata tidak harus dianggap mencukupi.
“Sejujurnya PAS bersetuju dan akur bahawa permohonan maaf semata-mata tanpa tindakan yang lebih tegas tidak boleh dinormalisasikan sebagai jalan penyelesaian bagi kesilapan sedemikian,” katanya.
Justeru, menurut Takiyuddin, PAS mengalu-alukan tindakan dalaman yang diambil oleh pihak-pihak terlibat berkait kes-kes yang berlaku ini.
PAS juga, tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu, menyokong langkah pihak berkuasa menjalankan tanggungjawabnya bawah undang-undang secara telus, adil dan tegas bagi memastikan ketidakpekaan, kecuaian atau kesilapan sama tidak berulang.
Ironinya, PAS sebelum ini antara pihak paling lantang menuntut tindakan keras apabila berlaku kesilapan pada bendera Malaysia – sama ada dihasilkan oleh individu, organisasi, media, malah kementerian kerajaan sendiri. – Malaysia Kini