KANGAR: Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatannya selepas menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Beliau berkata, beliau menyatakan hasrat meletakkan jawatan Menteri Besar atas faktor kesihatan.
“Pertamanya nak maklumkan bahawa saya diperkenan mengadap Ke Bawah Duli Tuanku tengah hari tadi dan telah menyatakan hasrat saya meletak jawatan sebagai menteri besar atas faktor kesihatan saya, seperti mana yang kita tahu tak berapa mengizinkan.

“Saya telah menyembah surat peletakan jawatan, jadi sehubungan itu saya nak merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran kerajaan Perlis telah memberi kerjasama yang cukup erat kepada saya dan sahabat dalam pentadbiran,” katanya pada sidang media, sebentar tadi.
Bagaimanapun, Shukri berkata, pihaknya masih menunggu jawapan daripada Tuanku Syed Sirajuddin mengenai status jawatannya itu.
Media sebelum ini melaporkan Pas yang bermesyuarat semalam mengugurkan serta-merta tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis.
Ketiga-tiga wakil rakyat itu adalah ADUN Chuping, Saad Seman, ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025). – Suara Timur
