Politik

Abdul Hadi tolak jadi Perdana Menteri 11

ALOR SETAR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak kemungkinan beliau akan menjadi Perdana Menteri ke-11 sekiranya gabungan Perikatan Nasional (PN) berjaya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Abdul Hadi berkata, terdapat panduan dalam memilih pemimpin yang layak seperti disebut di dalam al-Quran antaranya pemimpin perlu berilmu, kuat tubuh badan dan berintegriti.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keutamaan PAS adalah menang PRU16 terlebih dahulu sebelum menentukan siapa calon Perdana Menteri yang layak.

“Kita bersedia untuk memimpin Malaysia tapi keutamaan kita adalah menang pilihan raya dulu dan mendapat cukup sokongan, bila menang masalah siapa memimpin akan dipilih secara dalaman parti PN.

“Ada panduan dalam memilih pemimpin, dalam al Quran kata pilih pemimimpin mesti daripada kalangan orang berilmu, ada integriti dan orang yang sihat gagah,

“Makna orang umur 70 lebih macam saya ini sudah tak layak, jadi penasihat bolehlah, biar yang umur atas 70 jadi Perdana Menteri dan orang itu kuat. Orang tua seperti saya tak boleh, umur sudah 78 tahun tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS Pusat di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, terdapat ramai tokoh di dalam kalangan pemimpin PAS layak menjadi Perdana Menteri terutamanya yang mempunyai latar belakang sebagai ahli akademik dan profesional.

Katanya, pemimpin yang dipilih menjadi Perdana Menteri itu perlu memimpin secara kolektif dan Kabinet yang dibentuk perlu dianggotai ahli politik serta teknokrat yang dilantik sebagai senator.

“Kita diajar dalam Islam bahawa tanggungjawab memimpin adalah amanah sangat besar, kalau tunai kewajipan dengan baik akan dapat pahala besar, jika tak tunai masuk neraka.

“Sebab itu banyak orang takut jadi pemimpin, jadi terpaksalah kita menentukan siapa yang layak jadi pemimpin melihat ciri-ciri kepimpinan yang saya sebut tadi seperti berilmu, berintegriri dan boleh turun ke bawah,” katanya. – Harian Metro


Related Posts