Home PolitikUMNO Terengganu terbuka terima Rosol Wahid

UMNO Terengganu terbuka terima Rosol Wahid

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu sedia membuka pintu kepada Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid untuk kembali menyertai parti itu susulan tindakan disiplin yang dikenakan terhadapnya oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, pihaknya sentiasa bersikap terbuka untuk menerima mana-mana individu yang memahami semangat perjuangan Rumah Bangsa demi memperkukuh parti.

“Kalau ada sesiapa yang memahami Rumah Bangsa ini dan mahu bersama perjuangan parti, kita terbuka. Tiada masalah.

“UMNO sentiasa membuka ruang kepada sesiapa sahaja yang mahu bersama memperjuangkan kepentingan rakyat dan bangsa,” katanya.

banner

Beliau berkata demikian ketika mengulas status Rosol yang dilaporkan digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan parti oleh Lembaga Disiplin Bersatu.

Selain Rosol, tindakan penggantungan tersebut turut melibatkan empat lagi Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh).

Mengulas mengenai hala tuju parti, Rozi menegaskan keutamaan ketika ini adalah untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO di Terengganu sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Majlis Amanat Pengerusi UMNO Negeri Terengganu sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80 peringkat negeri di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dan Ketua Wanita UMNO Terengganu, Toh Puan Zaitun Md Amin. – Sinar

Tinggalkan komen