SHAH ALAM:Teka-teki mengenai siapakah yang bakal mengetuai blok pembangkang di Parlimen akhirnya terjawab apabila Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang baharu menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Kali Ke-2 yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan dipengerusikan sendiri oleh Ahmad Samsuri selaku Pengerusi PN dan dihadiri semua Ahli Majlis Tertinggi daripada parti-parti anggota.
“Mesyuarat telah bersetuju untuk melantik Ahmad Samsuri untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang.
“PN juga bersetuju secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya atau electoral pact bersama parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama dengan gabungan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Februari lalu.
Pemecatan itu mencetuskan persoalan mengenai kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang.
Dalam mesyuarat sama, Takiyuddin memaklumkan, PN turut memutuskan pelantikan Pengerusi PN bagi setiap negeri iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim bagi Perlis, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah) dan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai (Pulau Pinang),
“Antara lain Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Selangor), Datuk Dr Sahruddin Jamal (Johor), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang), Datuk Dr Alias Razak (Terengganu) dan Datuk Ahmad Yakob (Kelantan),” ujarnya lagi.
Menurutnya, mesyuarat tersebut memutuskan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin memegang jawatan Pengerusi PN bagi Melaka dan Wilayah Persekutuan, manakala jawatan Pengerusi PN Negeri Sembilan pula ditangguhkan buat sementara waktu.
“Bagi Sabah, PN melantik Datuk Dr Aliakbar Gulasan, manakala Sarawak diterajui Jaziri Alkaf Abdillah Suffian,” kongsi beliau lagi.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, mesyuarat turut membincangkan beberapa isu semasa yang menjadi perhatian rakyat dan kepentingan negara.
“PN akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang yang bertanggungjawab, konstruktif dan berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat serta masa depan negara sentiasa diutamakan,” menurutnya. – Sinar
