KEMASIK: Sebanyak 766 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip menerusi program Plogging #054/2026 yang diadakan di Pantai Tanjung, Kuala Kemasik, di sini, baru-baru ini.
Program anjuran bersama Gabungan Pertubuhan Inisiatif (GPI) dengan kerjasama TOSOH Advanced Materials Sdn. Bhd., UC TATI, JPKK Pekan Kemasik dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) itu disertai 155 sukarelawan yang bergotong-royong membersihkan kawasan pantai berkenaan.
Penganjur dalam satu kenyataan memaklumkan daripada jumlah keseluruhan sampah yang dikutip, sebanyak 252kg terdiri daripada botol plastik yang dipercayai hanyut ke pesisir pantai akibat tiupan angin Monsun Timur Laut.

Menurut kenyataan itu, Pantai Tanjung Kuala Kemasik sebelum ini terjejas akibat lambakan sampah yang dibawa arus dan angin, sekali gus mencemarkan kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan penduduk setempat serta pelancong.
“Usaha pembersihan ini bukan sahaja bertujuan memastikan pantai kekal bersih dan indah, malah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar,” menurut kenyataan itu.

Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk TOSOH Advanced Materials Sdn. Bhd. atas sumbangan ‘Plastik Ija’ bagi kegunaan program akan datang, selain MPK yang membantu menguruskan pelupusan sampah yang dikutip.
Menurut kenyataan itu lagi, kerjasama erat antara badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, komuniti setempat dan pihak berkuasa tempatan penting dalam memastikan kelestarian kawasan pantai di daerah berkenaan terus terpelihara.
“Pantai yang bersih dan cantik bukan sahaja menjadi kebanggaan penduduk setempat, malah menyumbang kepada imej Terengganu sebagai antara negeri yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kesejahteraan rakyatnya,” menurut kenyataan itu. – Suara Timur
