KUALA TERENGGANU: Nasib 17 keluarga di Kampung Hiliran Jejawi yang diarahkan mengosongkan kawasan penempatan mereka terus mendapat perhatian apabila didakwa masih belum menerima pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd berkata, kebanyakan penduduk yang ditemuinya dalam tinjauan di kampung berkenaan petang tadi meluahkan rasa sedih dan kecewa selepas diminta meninggalkan kediaman yang didiami sejak lebih 50 tahun lalu tanpa pampasan atau penyelesaian yang memuaskan.
Beliau berkata, kawasan itu bukan sekadar tempat tinggal, malah menjadi lokasi mereka membina kehidupan dan membesarkan keluarga dalam serba kekurangan sejak sekian lama.
“Wajah mereka jelas menggambarkan kesedihan. Selepas puluhan tahun tinggal di situ, kini mereka diminta keluar begitu sahaja sedangkan sehingga hari ini tiada sebarang pampasan diberikan.

“Penduduk ini bukan menuntut sesuatu yang berlebihan. Mereka sedar tanah itu milik kerajaan, namun sekurang-kurangnya berilah sedikit saguhati atau pampasan yang wajar atas pengorbanan dan kehidupan mereka di situ,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni penduduk terlibat.
Menurut beliau, penduduk terlibat difahamkan diberikan tempoh sehingga 19 Mei ini untuk mengosongkan kawasan berkenaan.
Prihatin dengan nasib mereka, Armi Irzan berkata beliau mengambil inisiatif menyediakan bantuan lori bagi memudahkan proses perpindahan selain ambulans untuk membantu warga emas dan penduduk uzur yang terlantar.
Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang didakwa gagal mencari penyelesaian lebih berperikemanusiaan walaupun rundingan berkaitan perkara itu dikatakan telah berlangsung sejak Februari lalu.
Katanya, sekitar tahun 2015 hingga 2016, kerajaan negeri terdahulu pernah menawarkan skim sewa beli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran kepada penduduk terbabit berikutan keadaan kediaman mereka yang daif serta sering dilanda banjir.
“Ketika itu kira-kira 20 keluarga berjaya menyertai skim berkenaan, namun selepas pertukaran kerajaan negeri, skim sewa beli itu tidak diteruskan dan hanya tinggal konsep sewaan semata-mata.
“Akibat kekangan hidup dan ketidakmampuan memiliki rumah sendiri, ramai penduduk terus kekal tinggal di kawasan asal sehingga hari ini,” katanya.
Isu berkenaan kini mula mendapat perhatian masyarakat setempat yang mempersoalkan tahap keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib golongan berpendapatan rendah yang berdepan tekanan hidup dan kehilangan tempat berteduh.- Suara Timur
