Negara

‘Rayu tangguh dulu tempoh kuat kuasa larang jual vape’

KUALA TERENGGANU: Seramai 169 pengusaha premis rokok elektronik (vape) merayu kerajaan negeri Terengganu agar menangguhkan tempoh penguatkuasaan larangan penjualan produk tersebut di negeri ini yang bakal berkuatkuasa Ogos depan.

Presiden Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Terengganu, Muhd. Kamaruzaman Mahmud berkata, tempoh tiga bulan diberikan kerajaan sebelum pelaksanaan penguatkuasaan terlalu singkat untuk peniaga tempatan menghabiskan stok produk vape mereka seterusnya mencari peluang peniagaan baharu.

“Beri kami tempoh untuk membuat persiapan menutup perniagaan seterusnya menceburi perniagaan atau pekerjaan baharu.

“Keputusan penguatkuasaan larangan tersebut diumumkan secara mengejut dan terburu-buru tanpa mengadakan perbincangan awal dengan pemain industri,” katanya selepas mengetuai perhimpunan aman membantah penguatkuasaan larangan penjualan produk vape tersebut di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah mengumumkan penguatkuasaan penjualan produk vape di semua premis seluruh negeri ini berkuatkuasa 1 Ogos depan.

Muhd. Kamaruzaman mendakwa, tindakan drastik terbabit menyebabkan pengusaha industri vape di Terengganu kerugian kira-kira RM5 juta sebulan.

Dalam perkembangan sama, beliau mendakwa keputusan kerajaan negeri Terengganu itu bertentangan dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

“Akta tersebut diperkenalkan untuk mengawal selia penjualan rokok dan vape, bukan larangan muktak. Pengharaman secara keseluruhan terhadap penjualan vape bercanggah dengan akta berkenaan,” katanya. 

Related Posts