Negara

Peruntukan Jualan Rahmah MADANI 2025 ditingkatkan kepada RM600 juta

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan Jualan Rahmah MADANI 2025 tahun ini ditingkatkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta, berbanding yang diumum sebelum ini RM300 juta.

Perdana Menteri berkata, peruntukan tambahan ini antaranya akan menambah kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Selain memperbanyak jenis barangan untuk memberi pilihan yang lebih meluas kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri yang turut disiarkan secara langsung di televisyen hari ini.

Anwar berkata ikhtiar MADANI di peringkat akar umbi akan terus diperhebat, selari dengan penekanan kerajaan sejak tahun lepas agar para pemimpin turun padang dan memberi tumpuan kepada usaha yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat di peringkat komuniti.

Perdana Menteri berkata Sejati MADANI dilaksanakan dengan menyalurkan hingga RM100,000 kepada komuniti dan memberi mereka bebas untuk menentukan aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan.

“Setakat ini Sejati MADANI berjaya membenih lebih 8,600 kegiatan ekonomi komuniti di peringkat kampung,” kata beliau.  – Berita Harian

Related Posts