KUALA LUMPUR: Harga emas melonjak! Logam berharga itu terus mengatasi jangkaan, berulang kali mencatatkan paras tertinggi baharu berikutan pelabur mencari perlindungan daripada ketidaktentuan ekonomi global.
Pada 30 Oktober 2024, harga emas melonjak kepada paras tertinggi sebanyak AS$2,787.61 setiap auns troy (RM396 segram) sebelum ditutup pada RM382 segram pada Januari 2025.
Kini, harga emas telah mencecah RM470 segram pada 21 Mac 2025, menurut Publicgold.my. Persoalan yang timbul ialah: Sejauh mana harga emas akan naik?
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid merujuk kepada satu faktor utama – situasi tidak menentu.
“Apabila kebimbangan melanda ekonomi global, emas mendapat permintaan tinggi. Nilainya bukan sahaja meningkat tetapi juga menjadi lindung nilai terhadap inflasi, penyusutan mata wang dan ketidakstabilan geopolitik,” katanya kepada Bernama, sambil menambah angka telah membuktikannya.
Beliau berkata, bank-bank pusat di seluruh dunia giat menyimpan emas, meningkatkan bahagian mereka daripada jumlah permintaan daripada hanya 1.8 peratus pada 2010 kepada 21.0 peratus pada 2024.
“Peningkatan pesat ini – berkembang pada kadar tahunan 20.2 peratus – mendorong harga emas lebih tinggi,” kata beliau.
Sesetengah spekulator mengunjurkan bahawa harga emas akan melonjak kepada AS$5,000 setiap auns troy atau RM710 segram pada akhir tahun tetapi Mohd Afzanizam kekal berhati-hati, menyatakan nilai tersebut mungkin mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk meningkat.
“Sasaran yang lebih realistik adalah antara AS$3,000 dan AS$3,500 setiap auns troy dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Secara jujurnya, sukar untuk menjangka harga emas berikutan ia cenderung memecahkan rekod tertingginya beberapa kali,” katanya. – Sinar Harian