PUTRAJAYA: Sebanyak RM62.57 juta bayaran pampasan setakat ini sudah diberikan kepada pemilik dan pihak berkepentingan dalam projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru di ibu negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Dr Khairul Nizam Othman, berkata penentuan jumlah pampasan dibuat oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Wilayah Persekutuan berdasarkan Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Menerusi tawaran usaha sama, pemilik rumah flat akan memperoleh sebuah rumah ganti dengan anggaran tawaran antara RM884,000 sehingga RM1 juta.
“Pemilik rumah teres akan memperoleh antara tiga hingga sembilan rumah ganti dengan anggaran tawaran antara RM2.7 juta hingga RM8.1 juta,” katanya ketika membentangkan isu berkaitan Kampung Sungai Baru di sini, hari ini.
Khairul Nizam berkata, bayaran pampasan itu membabitkan elemen nilai hartanah, kos selenggara, penambahbaikan, kos pindah, kos sewa sementara, kos kehilangan pendapatan, kos hadir bicara, fi penilaian serta lain-lain.
Katanya, bagi pemilik rumah flat, tawaran diberikan kepada mereka yang terbabit dalam pengambilan tanah, akan mendapat sebuah rumah dengan harga yang berpatutan.
Ia membabitkan sebuah kediaman berkeluasan 900 kaki persegi bernilai RM300,000 yang boleh dimiliki dengan harga separuh daripada jumlah pampasan diterima oleh pemilik rumah flat Kampung Sungai Baru.
“Sebagai contoh, pemilik yang menerima tawaran pampasan berjumlah RM250,000, boleh memiliki tawaran pakej harmoni dengan harga RM125,000.
“Tawaran ini sudah dikemukakan oleh pemaju kepada pemilik yang memohon pada 16 Mei 2022 dan sejumlah 11 unit flat menerima tawaran pemaju itu,” katanya.
Khairul Nizam berkata, sehingga kini sebanyak 72 peratus atau 236 daripada 328 pemilik kediaman bersetuju dengan pelan pembangunan semula manakala bakinya sekitar 28 peratus masih menolak.
Katanya, baki pemilik yang masih belum menyatakan persetujuan antaranya kerana tidak berpuas hati dengan isu pampasan.
“Impak projek ini menyumbang kepada peningkatan pemilikan hartanah orang Melayu dan Bumiputera sekali gus memperkukuh pegangan komuniti tempatan.
“Ia juga memberi peluang kepada pemilik yang bersetuju dengan tawaran untuk memiliki hartanah bernilai lebih RM1 juta, malah ada pemilik yang terbabit dengan pengambil tanah sudah menerima pampasan melebihi RM1 juta,” katanya. – Berita Harian