Negara Politik

Beri laluan Saifuddin Nasution isi kerusi Timbalan Presiden PKR – Syed Badli

SHAH ALAM: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) disaran mengenepikan persaingan dalaman dan memberi laluan mudah kepada Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengisi kerusi Timbalan Presiden parti itu, susulan spekulasi mengenai peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, langkah tersebut bukan sahaja mampu menjaga kestabilan parti menjelang pemilihan, malah memberi ruang kepada Saifuddin untuk memainkan peranan penting sebagai orang nombor dua dalam membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin parti.

“Sebagai pemimpin senior yang telah melalui jatuh bangun perjuangan parti, saya percaya sudah tiba masanya Saifuddin diberi laluan mudah tanpa dicabar.

“Ini juga penting untuk memelihara imej parti di mata rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Syed Badli memaklumkan bahawa khabar angin mengenai peletakan jawatan Rafizi sebagai Timbalan Presiden serta cutinya daripada jawatan Menteri Ekonomi telah menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli parti dan Kerajaan Perpaduan.

“Rafizi sepatutnya segera tampil memberi penjelasan dan tidak membiarkan isu ini terus dipolemikkan sehingga mengganggu tumpuan Perdana Menteri terhadap usaha memperkukuh ekonomi dan kerajaan,” jelas beliau.

Menurut Syed Badli, jika spekulasi itu benar, Rafizi perlu berkompromi dan memberikan laluan mudah kepada Saifuddin tanpa mencetuskan pertandingan dalaman yang boleh memecah-belahkan parti.

“Saya yakin kompromi antara dua tokoh ini bukan sahaja akan melonjakkan sokongan rakyat, malah mengukuhkan kestabilan politik dalaman parti,” tambah beliau. – Sinar Harian

Related Posts