Negara Politik

Royalti 20 peratus: Hipokrit janji Anwar, Manifesto PH

KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang, Yusfarizal Yusoff menegaskan bahawa penggubalan Akta Laut Wilayah 2012 (ALW) oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu bertujuan menafikan hak royalti bagi negeri Kelantan dan Terengganu. 

Menurutnya, ALW yang mendefinisikan wilayah laut negeri hanya sehingga tiga batu nautika dari tanda air surut menyebabkan eksplorasi minyak di luar kawasan itu tidak lagi berada di bawah bidang kuasa negeri. 

“Akta ini jelas sekali kontroversi. Ia adalah taktik BN ketika itu untuk menafikan royalti Kelantan dan Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menegaskan bahawa ramai ahli akademik berpendapat ALW tidak sah kerana tidak melalui proses perkenan Majlis Raja-raja atau Sultan negeri terbabit, walaupun ia membabitkan kedaulatan wilayah sesebuah negeri. 

Bantahan di Parlimen

Menurutnya, dalam perbahasan Bacaan Kedua pada 18 April 2012, pembangkang membangkitkan bantahan terhadap ALW. 

Yusfarizal berkata, PAS ketika itu, melalui beberapa figura yang kini berada dalam PAN, telah membangkitkan isu tafsiran ALW kerana dikatakan akan menjejaskan hak royalti Kelantan.

Antaranya Allahyarham Salahuddin Ayub dan Dr Hatta Ramli yang dipetiknya ketika itu turut berhujah bersandarkan Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS) dan menegaskan tuntutan Kelantan.

“Beliau juga berkata: ‘Yang Berhormat Mulia Gua Musang yang masih lagi menjadi saksi hidup, yang membina Akta 144, dokumen-dokumen yang kita kemukakan adalah jelas menunjukkan bahawa tidak ada halangan bagi Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak royalti itu kepada kerajaan dan rakyat negeri Kelantan’

“Hatta Ramli juga berhujah: ‘Isu tiga batu nautika ini menjadi hujah Kerajaan Pusat untuk menafikan hak Kerajaan Negeri Kelantan dalam menuntut royalti hasil-hasil barangan petroleum di laut Kelantan.

“‘Untuk berlaku adil, apakah tidak boleh semasa kita membentangkan rang undang-undang ini untuk menyelaraskan definisi ini supaya sama dengan definisi di bawah fasal 3(1) itu iaitu 12 batu nautika?

“‘Dengan cara ini kita dapat memberikan keadilan kepada bukan hanya Kelantan tetapi mana-mana negeri yang ada hasil petroleum di luar pesisir pantai mereka dan tidak akan berlaku apabila pertukaran kerajaan nanti, akan berubah-ubah kedudukan definisi tersebut’,” katanya memetik perbahasan bekas pimpinan PAS itu.

Menurut Yusfarizal, bantahan terhadap ALW ketika itu timbul akibat kebimbangan ia akan menafikan hak royalti negeri, namun ia tetap diluluskan kerana BN memiliki majoriti di Dewan Rakyat.

“Fokus BN ketika itu kononnya untuk memelihara kedaulatan wilayah negara lantaran timbulnya isu-isu perebutan wilayah sempadan,” jelasnya.

Pendirian Pakatan Harapan dan isu royalti

Mengulas lanjuat, beliau berkata pada 9 Ogos 2012, Pengerusi Pakatan Harapan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan perlu berikan royalti secara tunai kepada negeri-negeri terlibat berdasarkan peruntukan dalam Akta Petroleum 1974.

“Komitmen itu diulangi selepas Kerajaan PH mengambil alih Putrajaya. Manifesto Pakatan Harapan 2018 menyebut bahawa Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak.

“‘Serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain, kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil.

“‘Ini akan membolehkan negeri-negeri berkenaan mengambil alih lebih banyak tanggungjawab perbelanjaan pembangunan di peringkat negeri’,” katanya memetik ucapan Anwar Ibrahim.

Menurut Yusfarizal, pada ketika itu pendirian Pakatan Harapan dan Anwar Ibrahim jelas untuk memberikan royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar petroleum, walaupun ALW telah berkuat kuasa sejak 2012. 

Bagaimanapun beliau berkata, bahawa pendirian semasa adalah hipokrit kerana janji tersebut kini bertukar kepada bayaran Dana Khas Kerajaan Persekutuan yang bukan sahaja tidak dibayar penuh seperti pentadbiran sebelumnya, malah ‘perlu dituntut’ dari semasa ke semasa. 

Isu pindaan ALW oleh Kerajaan PN

Mengulas dakwaan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak meminda ALW dalam tempoh 33 bulan pemerintahannya, Yusfarizal menyifatkan hujah itu sebagai hipokrit.

Menurutnya, ketika itu pendirian pembangkang dan Pakatan Harapan ialah komited untuk memberikan royalti 20 peratus, justeru tiada keperluan mendesak untuk meminda ALW.

“Kerana disangkakan semuanya bersetuju dengan ‘political will’ yang ada yang boleh mengatasi ALW,” jelasnya.

Tambahan pula, negara ketika itu sedang bergelut dengan pandemik COVID-19, menyebabkan tumpuan kerajaan adalah untuk mengeluarkan negara daripada bahana wabak.

“Sehinggakan terpaksa menutup Parlimen lantaran daripada seriusnya wabak. Maka, untuk memberikan tumpuan ALW adalah tidak menepati ‘fiqh keutamaan’.

“Yang lebih penting bukan persoalan kenapa Kerajaan PN tidak berbuat apa-apa selama 33 bulan, tetapi kenapa Kerajaan PH yang diterajui oleh DS Anwar Ibrahim tidak mengotakan janjinya sejak daripada 2012, Manifesto dan janji ketika memperolehi kuasa.

“Sudah-sudahlah memutarkan isu, kerana sejarah tidak akan pernah menipu,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Negeri Selangor.

Seruan semakan ALW

Menurut Yusfarizal, langkah terbaik adalah menyemak semula ALW, namun beliau memahami bahawa kerajaan negeri mahu mencari penyelesaian secara harmoni bersama Kerajaan Madani bagi manfaat rakyat. 

“Tindakan mahkamah hanya akan memburukkan keadaan. Namun, sekiranya Kerajaan Negeri terus-terusan dibuli sebegini, maka saya kira, tindakan mahkamah mungkin perlu dikaji dan diambil kira,” katanya. – Harakahdaily

Related Posts