TUMPAT: Peniaga kuih akok di Kepulau, di sini, terpaksa menaikkan harga jualan berikutan peningkatan kos bahan mentah, khususnya santan yang kini mencecah RM16 sekilogram berbanding RM10 sebelum ini.
Wan Zainab Wan Ismail, 53, yang telah lebih 30 tahun mengusahakan perniagaan itu berkata, harga akok kini RM10.40 untuk 13 biji, berbanding sebelum ini tiga biji RM2 atau 15 biji RM10.
“Bezanya cuma kurang dua biji sahaja, dan harga naik 40 sen. Alhamdulillah, pelanggan masih memahami kerana mereka tahu harga bahan mentah memang meningkat,” katanya.
Selain kenaikan harga santan, beliau turut berdepan cabaran kos bahan bakar iaitu kulit kelapa.
“Harga kulit kelapa pun dah naik daripada RM140 hingga RM150 satu lori kepada RM170 hingga RM180 sekarang,” keluhnya.
Dalam sehari, beliau menggunakan sekitar 1,200 biji telur dan 25 kilogram tepung gandum, membolehkan lebih 2,000 biji akok dihasilkan sepanjang Ramadan.
Akok yang dibuatnya bukan sahaja dijual di kedai, tetapi turut diborong peniaga lain dengan harga RM70 hingga RM80 bagi setiap 100 biji.
Menurutnya, sepanjang Ramadan, permintaan akok meningkat mendadak.
“Jika pada hari biasa saya hanya menghasilkan sekitar 800 hingga 1,000 biji sehari, jumlah ini melonjak kepada lebih 2,000 biji sehari pada bulan puasa,” ujarnya.
Meskipun berdepan cabaran, Wan Zainab tetap teguh meneruskan perniagaan ini kerana baginya, akok bukan sekadar sumber pendapatan, tetapi sebahagian daripada warisan tradisi yang perlu dikekalkan.
“Saya bersyukur kerana pekerja-pekerjanya setia bersamanya sejak sekian lama. Bagi mereka, membuat akok bukan sekadar pekerjaan, tetapi suatu seni yang perlu dijaga kualitinya,” ujarnya.
Menjelang Aidilfitri, permintaan akok semakin meningkat apabila ramai anak Kelantan di perantauan pulang untuk berhari raya.
Walaupun tidak mampu menambah pengeluaran secara besar-besaran, Wan Zainab tetap berusaha memastikan setiap pelanggan dapat menikmati keenakan akok dihasilkan dengan penuh kasih sayang dan pengalaman lebih tiga dekad. – Harakahdaily