KUALA LUMPUR: Sindiket pinjaman wang tidak berlesen dikesan menyimpan 2,924 kad mesin juruwang automatik (ATM) milik peminjam bagi mengawal pengeluaran wang, sebelum kegiatan itu dibongkar polis dalam satu operasi khas di Subang Jaya, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata modus operandi berkenaan membolehkan sindiket membuat pengeluaran wang secara berkala menggunakan kad ATM peminjam yang dikawal sepenuhnya oleh mereka.
Menurutnya, operasi pada 8 Ogos lalu membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 36 tahun, termasuk seorang yang mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Tangkapan pertama membabitkan tiga suspek berhampiran sebuah bank di Subang Jaya, dipercayai ketika mengeluarkan dari ATM, manakala dua lagi ditahan di sebuah rumah yang juga dijadikan pejabat mereka di Subang Jaya.
“Mereka berperanan sebagai pengutip dan penghantar wang atau ‘runner’ yang menerima arahan daripada penyelia melalui aplikasi Telegram.
“Mereka mengeluarkan wang menggunakan kad ATM peminjam, sebelum menyerahkannya semula kepada sindiket. Setiap seorang dibayar gaji RM2,500 hingga RM3,500 sebulan,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati pengeluaran wang dibuat dua kali sehari antara RM5,000 hingga RM8,000 setiap kali, sebelum wang dihantar melalui kurier atau serahan tangan.
“Hasil serbuan, polis merampas 2,924 kad ATM pelbagai bank, wang tunai RM119,977, tiga kenderaan, 14 telefon bimbit, komputer riba, tablet, ‘router’ serta pe
“Daripada jumlah keseluruhan kad ATM dirampas, 18 dikenal pasti mempunyai kaitan dengan kes penipuan pelaburan. Elemen ini sedang disiasat lanjut,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati sindiket beroperasi sejak 2008 dengan menggunakan sebuah syarikat berlesen di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Namun, kegiatan pinjaman dijalankan ala ‘ah long’ dan tidak mematuhi syarat lesen,” katanya.
“Namun, kegiatan pinjaman dijalankan ala ‘ah long’ dan tidak mematuhi syarat lesen,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, manakala semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat pada 12 Ogos lalu.
JSJK juga mengingatkan orang ramai mengenai penglibatan sebagai keldai akaun, termasuk menyewakan akaun bank atau menjadi ‘runner’ bagi mengeluarkan wang menggunakan kad ATM orang lain, adalah satu kesalahan jenayah serius.
Pada masa sama, Rusdi berkata orang ramai perlu sedar bahawa pemberi pinjaman wang tidak dibenarkan menyimpan kad pengenalan, pasport, kad ATM atau sebarang dokumen peribadi peminjam.
Perbuatan itu, katanya adalah kesalahan mengikut Peraturan 15A(1) Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2024.
Beliau turut menegaskan pemberi pinjaman wang dilarang menyimpan kad pengenalan, pasport, kad ATM atau dokumen peribadi peminjam kerana perbuatan itu menyalahi Peraturan 15A(1), Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2003. – Berita Harian