Politik

‘Saya takut kehilangan Rafizi daripada PKR’ – Saifuddin Nasution

JOHOR BAHRU: Bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengalirkan air mata ketika menceritakan detik bersama Datuk Seri Rafizi Ramli, selepas pengumuman keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), semalam.

Saifuddin yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), merasa sebak apabila menyebut nama Rafizi ketika diberi peluang untuk melakukan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2025, hari ini.

“Saya berpeluk dan minta maaf kepada Rafizi semalam, menangis dan sebak. Saya setuju mengakui bahawa saya takut kehilangan Rafizi dari parti ini.

“Saya sedang bercakap dari hati dan amat berharap mesej ini ‘sampai’ kepada beliau.

“Ketika saya jadi Timbalan Ketua Pemuda UMNO, Rafizi ketika itu masih belajar di London dan pulang selepas 10 tahun.

“Saya sambut Rafizi di Johor Bahru bila dia pulang ke negara ini dan kami berbincang dari hati ke hati, hala tujunya sebelum kemudian memilih bekerja dengan PETRONAS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR 2025, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kebimbangan terhadap kehilangan potensi dan bakat Rafizi menyebabkan beliau pernah melantik Naib Presiden PKR itu sebagai penulis ucapannya ketika berkhidmat di Selangor.

Katanya, meskipun terdapat banyak perkara yang beliau sependapat dengan Rafizi, tidak kurang juga pandangan yang berbeza antara mereka. – Astro Awani

Related Posts