KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menolak sebarang usaha merampas kuasa dan ‘menebuk atap’ sehingga mengakibatkan kerajaan sedang memimpin negara ketika ini tumbang.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, bagaimanapun mahu dan menggesa partinya menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang.
Beliau menegaskan tindakan itu – jika diambil UMNO – tidak akan menyebabkan kerajaan sedia ada runtuh berikutan ia mempunyai sokongan kira-kira 153 Ahli Parlimen ketika ini.
“Biarlah kita setapak ke belakang untuk melihat jauh pada masa akan datang. Ahli Parlimen yang hadir ini takutkah menjadi Ahli Parlimen pembangkang?
“Kita tak nak merampas kuasa dari pintu belakang. Kamu pimpinlah negara ini, kita jadilah pembangkang setahun dua tahun ini… kita kuatkan semula orang Melayu,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini, hari ini.
Dr Muhamad Akmal sekali gus menggesa UMNO untuk segera membentuk penyatuan dengan PAS yang berpaksikan kepada komitmen menjaga serta melindungi agama dan bangsa.
Beliau menekankan bahawa penyatuan Melayu serta ummah itu perlu dijayakan, bermula dengan penggabungan dua parti Melayu yang terbesar di negara ini, iaitu UMNO dan PAS.
“Maka, sudah tiba masanya untuk penyatuan orang Melayu di tanah air kita. Penyatuan ini mestilah dimulakan oleh dua parti terbesar orang Melayu.
“Sebab kalau parti kecil campur yang besar, tidak boleh jadi… betul tak? Orang Melayu akan tetap berpecah. Jadi, dua parti terbesar ini ialah UMNO dan PAS… mesti menjadi pelopor utama penyatuan ini.
“Saya percaya dengan penyatuan UMNO-PAS, insya-Allah, orang Melayu akan kembali bertaut dan bersatu semula,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Muhamad Akmal meminta pimpinan parti khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendengar suara akar umbi demi memastikan maruah UMNO tidak terus dicabar.
Beliau berkata, Pemuda UMNO akan membawa pendirian dari konvensyen khas, hari ini – mahu penyatuan Melayu dimulakan segera antara UMNO dengan PAS dan UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan – ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang dijadualkan berlangsung bulan ini.
“Insya-Allah, (pendirian) kita diabsahkan dalam PAU. Insya-Allah, impian kita untuk melihat Melayu bersatu, kita keluar daripada kerajaan ini, akan terlaksana,” katanya. – Berita Harian
