Home PolitikMuhyiddin bukan calon pengerusi PN yang baharu – Abdul Hadi

Muhyiddin bukan calon pengerusi PN yang baharu – Abdul Hadi

oleh suara timur

MARANG: PAS menafikan dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus kekal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata pelantikan jawatan bagi menggantikan Muhyiddin yang melepaskan jawatan akhir bulan lalu belum dimuktamadkan.

Katanya, PAS belum menerima sebarang jemputan rasmi daripada PN bagi membincangkan pelantikan pengerusi baharu.

“Setakat ini kita belum menerima jemputan lagi, jadi kita tunggulah, tetapi belum ada keputusan dibuat,” katanya diminta mengulas perkembangan terkini mengenai jawatan kepimpinan tertinggi PN.

banner

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kelewatan pelantikan pengerusi PN bukan berpunca daripada perbezaan pendirian parti, sebaliknya lebih kepada urusan pengurusan dan pentadbiran dalaman gabungan itu.

“Itu soal pengurusan dan pentadbiran…Insya-Allah bila-bila masa sahaja boleh diputuskan,” katanya sambil menafikan dakwaan bahawa Muhyiddin sudah dipersetujui untuk kekal sebagai Pengerusi PN.

“Kita tegaskan tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini, belum ada…tiada keputusan lagi,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Dhuha, di Masjid Rusila, hari ini.

Abdul Hadi menegaskan pendirian PAS kekal konsisten berdasarkan keputusan resolusi muktamar parti yang menetapkan calon Pengerusi PN adalah daripada Pas.

Mengenai penyertaan MIC dalam PN, Abdul Hadi berkata, kemasukan parti itu dalam gabungan PN bukannya isu baharu.

“Kita sudah menerima kemasukan parti itu dalam gabungan PN dan ianya bukan isu baharu.

“Kita sudah terima lama…tidak menjadi masalah kerana negara demokrasi dan kita sendiri sudah beberapa kali mengadakan sesi dialog dengan pimpinan parti itu,” katanya. – Metro

Tinggalkan komen