Negeri Politik

Peserta projek kelapa pandan bantah kerajaan negeri ‘rampas’ tanah

DUNGUN: “Tapak projek kelapa pandan ini dahulu merupakan kawasan paya bakau dipenuhi semak samun dan kami terpaksa membanting tulang membersihkan kawasan tersebut sebelum diusahakan tanaman kelapa pandan.

“Apabila kawasan itu telah bersih dan pokok kelapa pandan telah mengeluarkan hasil, tiba-tiba kerajaan negeri ingin ‘merampas’ tanah tersebut untuk diserahkan  kepada pihak lain untuk tapak rumah.”

Itulah antara luahan seramai 96 peserta tanah kelompak projek kelapa pandan di Kampung Tebing Tembah, Paka, dekat sini, yang membantah tindakan kerajaan negeri menarik balik tanah tersebut untuk dibangunkan rancangan tanah berkelompak (RTB) tapak rumah.

Pengerusi Penyelaras Projek Kelapa Pandan Kampung Tebing Tembah, Abd Wahid Kasim berkata, peserta terlibat kecewa apabila projek tanaman kelapa pandan yang diusahakan di kawasan seluas 40 hektar sejak 2006 terpaksa diserahkan kepada kerajaan negeri.

KAWASAN projek kelapa pandan di Kampung Tebing Tembah, Paka, Dungun.

Menurutnya, setiap peserta menanam kelapa pandan di kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar  seorang dan pada masa ini, mereka memperoleh pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

“Peserta mendapat hasil daripada tanaman tersebut dengan menjual buah kelapa, air nira, anak benih dan produk-produk hiliran berasaskan buah kelapa,” katanya ketika ditemui, semalam.

Abd Wahid berkata, keputusan kerajaan negeri menarik balik tanah itu juga dilakukan secara mengejut tanpa mengadakan perbincangan dengan peserta terlebih awal.

Tambahnya, peserta telah menghantar memoradum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk
Satiful Bahari Mamat mengenai bantahan terhadap tindakan kerajaan negeri itu.

Seorang peserta projek tersebut, Ab Ghani Tek, 69, berkata, dia selepas ini akan hilang pendapatan apabila tanah tersebut diambil semula kerajaan negeri.

Katanya, selain menanam kelapa pandan, dia juga menternak lembu di kawasan tersebut untuk menambah pendapatan.

“Tanah yang kami usahakan ini tidak sepatutnya diusik kerajaan negeri memandangkan masih terdapat banyak tanah kosong lain termasuk di kawasan seluas 750 hektar di tapak rancangan Bandar Baharu Durian Mentangau tidak jauh dari kampung ini yang lebih sesuai untuk RTB tapak rumah,” ujarnya. – Sinar Timur

Related Posts