PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Zahidi menyerahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk membuat keputusan berhubung usul bagi menerima kembali kemasukan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri berkata, sehingga kini tiada sebarang rayuan atau permohonan daripada bekas Naib Presiden itu selepas penggantungan keahliannya pada Januari 2023.
“Berikutan tiada satupun surat rayuan oleh orang itu (Hishammuddin), maka saya menyerahkan kepada MKT untuk menentukannya.
“Kita akan menunggu usul yang dibawa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan dalam Biro Politik,” katanya selepas menyempurnakan majlis Peluncuran Program Desa Kirana@KKDW di Hotel Sunway Putra di sini, hari ini.
Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan bersama EXCO Luar Bandar (MEXCLUB) Bilangan 1 Tahun 2025 pada majlis sama.
Sebelum ini Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, semua UMNO bahagian dibenarkan mengemukakan sebarang usul termasuk isu penggantungan keahlian Hishammuddin pada mesyuarat perwakilan.
Beliau berkata, usul itu kemudiannya akan dikumpul dan dikemukakan kepada kepemimpinan parti untuk diteliti.
Perkara itu disuarakan secara terbuka dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong, sekali gus ia masuk tahun kedua UMNO Bahagian Sembrong membawa usul supaya penggantungan Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa syarat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika berucap merasmikan mesyuarat itu di Sembrong, memulakan ucapan dengan mengenang peranan besar Hishammuddin yang dianggap sebagai ‘sifu’ dalam permulaan karier politiknya.
Ahmad Zahid menjelaskan, lazimnya kesemua usul yang dikemukakan kesemua 191 bahagian akan dibawa ke Jawatankuasa Usul dan membuat keputusan itu berdasarkan kepada apa yang akan dikemukakan oleh Onn Hafiz.
Beliau berkata, MKT UMNO tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu tanpa wujud kesalahan yang jelas.
“Saya ingin ingatkan rakan-rakan wartawan, MKT UMNO tidak akan menggantung atau memecat sesiapa jika tiada kesalahan dilakukan,” katanya. – Berita Harian