Politik

KJ sah beritahu Ahmad Zahid untuk kembali bersama UMNO – Sumber

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sah telah menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti itu di hadapan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara itu didedahkan oleh sumber pemimpin UMNO yang rapat dengan bekas Menteri Kesihatan itu kepada Sinar Harian pada Khamis.

Hal ini susulan pertemuan Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ dengan Timbalan Perdana Menteri itu di majlis resepsi perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman baru-baru ini.

Sumber parti yang memegang jawatan penting dalam UMNO Selangor itu berkata, dalam pertemuan tidak rasmi itu, beliau dan KJ sendiri telah menyatakan hasrat kepada Ahmad Zahid untuk membincangkan kaedah untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.

Bagaimanapun, sumber enggan dinamakan itu menegaskan perbincangan dua pihak berkenaan hanya di peringkat lisan sahaja.

“KJ, saya dan Datuk (Ahmad Zahid) memang berjumpa di majlis kahwin (anak Pengerusi UMNO Perlis).

“Kami memang beritahu hasrat untuk berbincang (keadah) untuk masuk UMNO kembali. Borang (keahlian) tidak hantar, apa pun tidak hantar lagi.

“Kalau parti benarkan, insya-ALLAH beliau (KJ) akan kembali. (Dakwaan) Perkara selebihnya itu saya tidak mahu cerita,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian.


Media tempatan sebelum ini melaporkan Khairy dijangka menyertai semula UMNO sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual berlangsung pada hujung bulan depan.

Hasrat pemimpin itu yang kini bertugas sebagai penyampai radio di Hot FM untuk kembali kepada UMNO, didakwa sudah mendapat ‘restu’ pimpinan tertinggi parti itu khususnya Ahmad Zahid. – Sinar Harian

Related Posts