JELI: Dua lelaki maut tertimbus di dalam lubang yang digali mereka dipercayai untuk melombong emas di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong, di sini malam tadi.
Seorang lagi mangsa terselamat dalam kejadian pukul 8.20 malam itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba Adni Ibrahim berkata, anggotanya terpaksa menggunakan kenderaan pikap untuk masuk ke lokasi sebenar kerana laluan sempit.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat dua mangsa tertimbus akibat runtuhan tebing tanah setinggi dua meter di kawasan anak sungai.
“Anggota bertugas kemudian menggerakkan operasi mencari dan menyelamat bermula pukul 9.20 malam. Mangsa pertama ditemukan pada pukul 9.25 malam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Adni berkata, sekitar pukul 11.18 malam, mangsa kedua ditemukan.
Katanya, kedua-dua mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – Utusan
