KUANTAN: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di Lanchang, Temerloh menyelamatkan anak gajah betina berusia lima bulan dalam operasi memindahkan kumpulan lima ekor haiwan berkenaan di Kampung Pianggu, Rompin, bulan lalu.
Anak gajah terbabit sebelum ini menghidap penyakit Elephant endotheliotropic herpesvirus (EEHV) atau ulser, namun kini sembuh sepenuhnya dan semakin cergas berada dalam kurungan.
Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, seorang kakitangan khas ditugaskan menjaga serta mengawasi anak gajah terbabit yang kini semakin sihat dan jinak dengan penjaganya.
Menurutnya, setiap dua jam sekali susu sebanyak empat hingga lima liter diberikan menggunakan botol khas, pada usia ini anak gajah masih tidak pandai makan sebaliknya bergantung sepenuhnya pada susu.
Menurutnya, proses mengajar anak gajah itu makan dilakukan secara berperingkat.
Katanya, anak gajah diberi nama ‘Tanjung’ itu adalah gajah paling muda di PKGK Kuala Gandah selain tujuh gajah remaja dan gajah dewasa yang dilatih sebagai denak.
“Pada masa akan datang sekiranya sesuai anak gajah itu dilatih untuk menjadi denak yang digunakan bagi membantu operasi memindahkan gajah dilakukan. Beberapa faktor seperti saiz badan menjadi keutamaan pemilihan denak.
“Anak gajah berkenaan sebelum ini agak kurus dan lemah disebabkan penyakit ulser, namun kini sembuh sepenuhnya. Berat badannya kini semakin bertambah dan sifat aktif kini mula dapat dilihat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pegawai kesihatan dari semasa ke semasa melakukan pemeriksaan kesihatan anak gajah terbabit, selain ubat turut diberikan.
Che Ku Mohd Zamzuri berkata, kehadiran pelancong ke PKGK Kuala Gandah sempena cuti Tahun Baharu Cina kali ini dijangka bertambah antara dua hingga tiga kali ganda.
“Kehadiran pelancong ke PKGK Kuala Gandah bertambah setiap tahun, pelancong begitu tertarik melihat gajah yang dibiarkan bebas dalam kawasan khas. Terdapat dalam kalangan mereka yang datang lebih daripada sekali sambil membawa ahli keluarga dan rakan.
“Tugas utama PKGK Kuala Gandah ialah terbabit dalam aktiviti memindahkan dan menangkap gajah liar selain mengesan dan melakukan pengawalan penceroboh haiwan liar itu. Sebagai contoh, dalam tempoh dua bulan tahun ini. – Metro
